Ilmu perang Melayu di pentas dunia



GERAK tangan yang tersusun lembut dan ketangkasan gerak menjadikan seni bela diri ini berbeza.

Jika karate popular di Jepun, tomoi menjadi kebanggaan rakyat Thailand dan wushu begitu sinonim dengan masyarakat China, silat merupakan warisan bangsa Melayu di rantau Nusantara.

Tambah menarik, silat kini sudah diterima oleh kebanyakan komuniti seni bela diri dunia seperti Austria, Perancis, Switzerland, Algeria dan United Kingdom. Sejak tahun 1980-an, Seni Gayung Fatani menjadi antara cabang silat yang telah mengembangkan silat versi Malaysia di beberapa negara di peringkat antarabangsa melalui kurikulum silat yang telah diiktiraf oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan sejak tahun 2000.

[singlepic id=53 w=320 h=240 float=center]

Menurut Pengarah Teknikal Antarabangsa, Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM), Aziwahija Yeop, 38, silat secara tidak langsung ibarat ‘duta’ budaya Melayu apabila populariti seni mempertahankan diri itu turut memperkenalkan budaya unik kepada orang luar.

Kenyataannya itu adalah berdasarkan penglibatan Aziwahija selama 15 tahun di peringkat antarabangsa. Dia berpendapat bahawa silat telah menambat perhatian masyarakat antarabangsa kerana ketinggian nilai seni, budaya, dan tradisi yang dibawakannya.

“Kita boleh melihat pengamal silat dalam kalangan masyarakat Barat turut mengikuti sepenuhnya adat dan budaya serta peraturan di dalam seni silat seperti yang diamalkan di Malaysia. Mereka tahu bersalam, hormat, mengenakan persalinan Melayu dan berbahasa Melayu ketika latihan,” katanya.

[singlepic id=54 w=320 h=240 float=center]
AZIWAHIJA menjadikan silat sebagai medium memperkenalkan seni budaya Melayu ke peringkat global.

Beliau yang juga pensyarah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), menambah, kejohanan Sukan SEA merupakan gelanggang antarabangsa tertinggi yang menampilkan silat di dalam temasyanya.

Selain itu terdapat beberapa kejuaraan silat sedunia yang dianjurkan oleh Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (Persilat) dan kejuaraan-kejuaraan di peringkat Eropah. Usaha berterusan itu secara tidak langsung mempopularkan silat di mata dunia.

Sebagai antara individu yang banyak terlibat dalam PSGFM, Aziwahija sering menerima undangan bagi mengadakan persembahan, seminar dan melatih atlet silat negara Austria.

Beliau juga telah menempa kejayaan di peringkat antarabangsa dengan mengangkat silat Malaysia sebagai juara ketika kejohanan antarabangsa yang berlangsung di Pyongyang, Korea Utara pada 2004, Perugia, Itali (2005), Jerman (2004) dan Bercy, Paris (2010).

Beliau baru-baru ini turut dijemput oleh Karate Bushido Europeenne de Magezines iaitu salah sebuah majalah bela diri yang terkenal di Eropah bagi menyertai persembahan di Festival Des Arts Martiaux, Bercy, Paris. Festival tahunan tersebut mengumpulkan pelbagai seni bela diri dari seluruh dunia untuk diperkenalkan kepada masyarakat.

Lebih manis apabila rombongan kami telah ditemu bual oleh sebuah stesen radio terbesar Perancis dan wartawan majalah di sana,” ujarnya kepada Kosmo! mengenai lawatan beliau bersama lima pendekar PSGFM yang lain.

sumber: kosmo